Thursday, December 25, 2008

Wacana Perdana : Baru Pas tahu siapa KJ

KATA orang-orang tua, benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, di campak ke darat, menjadi gunung. Mungkin kata-kata ini boleh dikaitkan dengan seorang tokoh muda dalam Umno, bernama Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila beliau sedia menjadi penalis Wacana Perdana, anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Sabtu, 21 Disember lalu.

Bertempat di Balai Islam, Kota Bharu, Khairy Jamaluddin sebenarnya memiliki keberanian luar biasa bila sanggup menerima undangan ini. Bagi saya, seorang pemerhati politik biasa, jika silap perhitungan, menghadirkan diri di majlis anjuran Pas, samalah seperti meletakkan leher sendiri di rel keretapi.
Maklumlah, penalis lain terdiri dari orang-orang Pas, walaupun kehadiran tokoh akademik seperti Prof Madya Dr Aziz Bari dan moderator, Prof Madya Mohamad Agus Yusof meletakkan Khairy Jamaluddin diapit oleh orang-orang Pas, yang zahirnya seolah-olah mereka ‘neutral’.

Bacalah tulisan Aziz Bari dan dengar Mohamad Agus bercakap, bila ketikanya mereka berdua ini neutral? Cuma orang pekak sahaja, yang bercakap dengan kedua-dua tokoh dari menara gading ini akan mengakui mereka neutral tetapi hakikatnya mereka ‘cari makan’ untuk kelihatan neutral.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa tidak perlu diperkenalkan. Dia memang suka berdebat dan dia sebenarnya menyiapkan dirinya untuk menjadi pengganti Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Jadi, apa sahaja yang dia buat, dia mempunyai perkiraan, percaturan dan susun kerja untuk mempersiapkan dirinya.

Dengan membawa penyokong Pas di Balai Islam, Khairy Jamaluddin sebenarnya ‘bermain bola di padang musuh’. Dalam permainan itu, walau hebat mana sekali pun permainan Khairy, tentulah beliau akan ‘diboo’ oleh penyokong musuh. Mana mungkin penyokong musuh mahu mendengar kata-kata Khairy kerana kehadiran mereka ke situ, diamanahkan untuk ‘menyokong Pas’ dan ‘boo Umno’.

Masalah penyokong Pas, termasuk para pemimpin mereka, mereka hanya hendak percaya perkara yang mereka hendak percaya sahaja. Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercakap, mereka akan percaya. Misalannya, Anwar kata dia akan jadi Perdana Menteri 16 September 2008, semua pemimpin Pas sudah bersiap sedia mahu mengikuti majlis angkat sumpah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Bukan itu sahaja, seandainya Anwar beritahu para penyokong Pas, dia akan jadi Presiden Amerika, 16 September lalu, tentulah ada pemimpin-pemimpin Pas sudah pun membeli tiket kapal terbang mahu ke US, mengikut Anwar untuk menjadi Presiden Amerika.

Para penyokong Pas juga mempunyai satu penyakit, mereka hanya mahu mendengar cakap dari orang-orang yang mereka taksub sahaja. Kalau yang bercakap itu bukan dari senarai orang yang mereka taksub, mereka akan boo, mereka akan buat bising dan bertempik. Kalau Anwar Ibrahim yang bercakap, mereka mahu dengar kerana mereka tengok para pemimpin mereka pun terkagum dengan Anwar Ibrahim.

Tetapi dalam ramai-ramai penyokong Pas di Balai Islam, Sabtu malam Ahad lalu, tentu ada yang terpelajar. Mereka bukan sahaja ‘berbulu telinga’ mendengar Dr. Aziz Bari dan Mohamad Agus berbcara, malahan hati kecil mereka yang terbuka mindanya, berlapang dada dan mahu mendengar dari sumber-sumber lain juga, tentunya tersentak dengan pukulan dari Khairy Jamaluddin yang selama ini mereka caci.

Mana ada orang Pas yang tidak mencaci Khairy walaupun mereka tidak pernah jumpa Khairy, tidak pernah dengar Khairy berpidato dan jauh sekali mendekatinya? Namun, sejak malam Sabtu lalu, mereka sama-sama sendiri sudah mula bercakap, “hebat rupanya Khairy Jamaluddin ini.”

Para penyokong Pas mengkritik Khairy perkara biasa. Para penyokong DAP mengkritik Khairy juga tidak perlu diperkatakan. Malah, jika para penyokong PKR sekali pun, seperti berdosa besar mereka jika mereka mengkagumi Khairy. Sebenarnya, dalam Umno sendiri, Khairy sentiasa dicemburui dan difitnah hanya kerana mereka yang memfitnahnya merasakan mereka tidak mampu untuk bersaing dengannya.

Jangan terkejut jika sesiapa mendengar cerita, Khairy kelihatan di IJN… tentu beliau ada saham dalam usaha kerajaan mahu mengswastakan IJN. Jika sesiapa nampak Khairy berada di Balai Polis, jangan sesiapa terkejut akan ada cerita Khairy dapat projek membina Balai Polis dan begitulah seterusnya.

Bagi mereka yang mencemburuinya, tiada langsung kebaikkan yang Khairy buat. Semua yang tidak baik, tentunya Khairy yang lakukan. Yang mana baik, Khairy tidak sempat ‘kacau’. Hari ini, apabila Khairy mempelawa calon-calon Ketua Pergerakan Pemuda supaya berdebat, bukan sahaja ada yang terketar-ketar menjawab, tidak setuju dengan cadangan Khairy malahan, mereka mengutuk kononnya Umno belum cukup bersedia dengan debat.

Lihat sahaja bagaimana perbahasan di Parlimen, celahan Khairy terhadap hujah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai agensi pendakwaan di Hong Kong disambut baik berbanding dengan celahan Ahli Parlimen Telok Intan terhadap Mukhriz (MP Jerlun) hingga menimbulkan kata-kata mengejek MP Telok Intan kepada MP Jerlun : ‘you don’t know, you don’t talk lah.’

Kesempatan ini, saya mengharapkan Khairy terus memenuhi undangan jika ada lagi wacana-wacana seperti ini, tanpa mengira undangan itu datangnya dari Pas, PKR atau DAP. Sekurang-kurangnya, Ibu Pejabat Umno tidaklah perlu risau jika ada undangan mahu Umno menghantar penalis ke wacana-wacana seperti ini.
Dari rekod sebelum ini, Ibu Pejabat Umno sering mengharapkan Allahyarham Ikhwan Nasir, bekas Ahli Parlimen Pontian untuk berdepan dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang di Universiti dan forum-forum terbuka, tetapi sejak kematian Ikhwan beberapa tahun yang lalu, Umno seperti ketandusan tokoh untuk berdebat.

Hari ini, Allah swt menganugerahkan kepada Umno seorang anak muda bernama Khairy Jamaluddin untuk menjadi pengganti tokoh-tokoh hebat yang sudah tiada di sisi Umno. Tahniah dan teruskan perjuangan YB Khairy Jamaluddin.

Oleh Mohd Ansar Saifuddin

Zahar sertai Pas, UMNO tak rugi malahan bersyukur

Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini. Turut hadir pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Alahamdulillah akhirnya jelas dan nyata bahawa perjuangan Datuk Zahar sebenarnya bukanlah kerana UMNO tetapi kerana kepentingan diri sendiri, UMNO juga merasa lega kerana orang macam Zahar kini tidak berada dalam UMNO dan Insyaalah Pas juga akan menghadapi masalah yang sama apabila kumpulan Datuk Zahar menyertai PAS.

UMNO tidak merasa kerugian hilang orang macam Datuk Zahar yang mementingkan diri sendiri dan setelah mengaut keuntungan dalam UMNO kini menyertai PAS pula. Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Zahar berkata beliau akan bersama jentera PAS untuk membantu kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, yang berlangsung antara 6 sehingga 17 Januari ini. Tambahnya, beliau akan mula berkampung di kawasan itu sepanjang kempen mulai 5 Januari, sehari sebelum penamaan calon. Kapten tentera bersara juga menafikan tindakan penggantungan yang diambil oleh Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu sebagai punca yang menyebabkan beliau melompat parti. Sejak keputusan pilihanraya umum 8 Mac lepas yang menyaksikan ketewasan besar BN di beberapa negeri termasuk Selangor, kata Zahar lagi, beliau bersama para penyokongnya sering memikirkan untuk meninggalkan Umno.

Eloklah jika zahar menyertai PAS dan orang yang seperti Zahar ini sememengnya tidak layak pun bersama UMNO.

Bila DAP Repot Kepada Anwar Ibrahim….

Dr Novandri Hasan Basri

Apakah satu perkara lumrah yang semua orang (termasuk ahli-ahli Pas dan DAP) sudah tahu jawapannya apabila kita membincangkan isu perkahwinan parti Pas dan DAP? Ya benar. Mereka tidak akan dapat berkongsi ideologi politik.

Ianya diibaratkan seperti langit dan bumi, cuma bezanya ialah pemimpin-pemimpinnya dapat berlakon dengan agak baik seperti adegan drama Anwar Ibrahim dan 16 September beliau.

Apabila berdepan dengan orang Islam, Pas akan melaung-laungkan negara Islam dan hududnya tetapi apabila dengan orang bukan Islam, pemimpin-pemimpin Pas menyepi seribu bahasa malah dapat bersekongkol dengan rela hati bersama-sama pemimpin-pemimpin DAP.

Makanya, tidak menghairankan apabila Lim Kiat Siang dan anak kesayangan beliau yang juga kroni nyata beliau, Lim Guan Eng, melenting menyatakan tanda bantahan terhadap kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa bahawa Pas akan tetap menjalankan hukum Hudud sekiranya berjaya menguasai kerajaan persekutuan.

Apa pun, penulis lebih berminat menunggu jawapan Karpal Singh mengenai isu hudud ini. Beliau lebih dramatik apabila membicarakan isu hudud ini.

Berkemungkinan besar beliau akan mengulangi hasrat beliau untuk dilangkah mayat beliau dahulu sebelum Pas mahu melaksanakan hukum Hudud?

Jika kita amati dengan teliti, pihak yang sebenarnya menjadi mangsa dek lakonan Husam dan the Lim's ialah ahli-ahli Pas itu sendiri.

Penulis simpati apabila ahli-ahli Pas diperkotak-katikkan sedemikian rupa oleh pemimpin-pemimpin Pas. Perjuangan ahli-ahli Pas yang berpaksikan kepada perjuangan asal parti Pas telah dicemari oleh pemimpin-pemimpin mereka sendiri.

Yang bertambah malang ialah pemimpin-pemimpin Pas seperti Husam tidak lagi berselindung dan mampu menjadi talam dua muka hanya kerana mengejar undi-undi bukan Melayu yang dipunyai oleh DAP.

Kini Pas tidak boleh lagi melaung-laungkan perjuangan Islam mereka kerana mereka juga adalah parti Pakatan Rakyat yang diketuai oleh DS Anwar Ibrahim yang sememangnya mahukan undi-undi bukan Melayu jatuh ke pangkuan beliau.

Penulis tidak pasti jawapan Anwar Ibrahim apabila Guan Eng merepotkan 'kenakalan' Husam kepada beliau. Seperti kata Guan Eng, hudud tidak terdapat di dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Kita semua tahu bahawa Anwar Ibrahim tidak dapat berpihak kepada mana-mana parti.

Mungkin satu perkara yang mampu Anwar lakukan ialah melencongkan pemikiran rakyat daripada terlalu memikirkan perbalahan di antara DAP dan Pas dengan mewar-warkan seluruh dunia bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri pada tahun baru ini?

Dan seperti biasa, Lim Kiat Siang akan mula mengertak dan meleceh-lecehkan pemimpin Pas.

"Jika gagal dijelaskan, kenyataan Husam boleh menimbulkan rasa tidak senang, serba salah dan bantahan bukan sahaja di kalangan 11 peratus pengundi Cina di pilihanraya kecil Kuala Terengganu, tetapi juga kepada semua pengundi di seluruh Malaysia," kata Lim lagi - MalaysiaKini

Kesimpulannya, mungkin sudah tiba masanya untuk ahli-ahli Pas kembali berfikir.

Dua perkara mungkin boleh dilakukan iaitu mendesak pemimpin-pemimpin Pas supaya menarik parti Pas keluar daripada Pakatan Rakyat atau pun ahli-ahli keluar daripada parti tanda tidak setuju.

Terpulanglah.

Sikap Membisu Anwar Dalam Isu Hukum Hudud Dipersoalkan

Rembau -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mempersoalkan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah cuba bermain politik secara selamat tanpa memberi sebarang ulasan berkenaan pelaksaan hukum hudud.

Jelas beliau pihaknya percaya tindakan itu dibuat dengan harapan isu berkenaan tenggelam begitu sahaja.

"PKR bisu kerana saya fikir dia hanya mahu selamat dengan harapan isu ini akan tenggelam begitu sahaja.

''Jadi, mereka fikir apabila tidak bercakap dalam soal ini, nanti isu ini pun akan mati begitu sahaja, jadi tidak perlulah mereka membuat pendirian,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2008 Parlimen Rembau di sini, Rabu.

Setakat ini hanya DAP sahaja yang dilihat begitu lantang membidas kenyataan Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud sementara PKR khususnya Penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum lagi mampu membuat sebarang kenyataan.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau seterusnya berkata hasrat Pas dalam melaksanakan hukum hudud sekiranya mentadbir negara adalah satu dasar yang tidak konsisten memandangkan rakan mereka dalam pakatan pembangkang itu tidak senang dengan cadangan berkenaan.

"Malah hasrat Pas itu hanya akan mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat yang sebelum ini menaruh harapan terhadap kepimpinan pakatan tersebut.

"Kalau ingin mentadbir Kerajaan Pusat, mereka sepatutnya perlu mempunyai dasar yang konsisten dan tidak boleh diubah-ubah kerana perkara ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat," ujarnya.

Justeru beliau seterusnya percaya hubungan pakatan pembangkang hanya ibarat retak menanti belah berlandaskan senario yang berlaku setelah Pas mahu meneruskan agendanya itu walaupun ditentang keras oleh DAP.

Oleh Indera Ahmad

Transformasi Politik Husam

Dicabar ke kanan, digertak ke kiri. Inilah yang saya lihat tentang YB Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS, apabila, belum pun sempat hilang panasnya bara ketetapan dan jawapan beliau untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia , terus tersungkur dan menyerah kalah pada gesaan DAP.
Semasa majlis Wacana Transformasi Politik Malaysia, saya telah minta pendirian jelas daripada Dato' Husam mengenai perlaksanaan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat sepertimana impian 16 September.
Beliau menjawab dengan jelas "kita akan buat." Saya selanjutnya meminta beliau jelaskan sekali lagi jawapannya dan beliau menegaskan sekali lagi bahawa "kita akan buat" sambil mengangkat jari dan tangan menandakan kesungguhan jawapan beliau.
Namun, tak sampai 24 jam kenyataan beliau disiarkan oleh pihak media, YB Lim Kit Siang, selaku Supremo DAP, mempertikaikan kenyataan Dato' Husam dan menegaskan bahawa hukum hudud tidak menjadi dasar Pakatan Rakyat.
Kenyataan Lim Kit Siang ini kemudiannya disokong oleh anak beliau YAB Lim Guan Eng, yang dipuji berkali-kali dalam Wacana tersebut oleh Dato' Husam sebagai pemimpin moden ala Saidina Omar Abdul Aziz.
Akibat pukulan dan desakan DAP ini, Dato' Husam yang tampak berani dan bersemangat tinggi semasa majlis Wacana di Balai Islam Kota Bharu, tiba-tiba pula menjadi ikon transformasi politik layu di mana dengan longlai dan lesunya tunduk kepada gertakan DAP.
Tidak sampai dua hari selepas Dato' Husam dengan lantang memberi jaminan kepada penyokong tegar PAS di gelanggangnya sendiri bahawa hudud akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan, beliau sudah pun "surrender" dan kata hukum hudud tidak akan dilaksanakan kerana memerlukan persetujuan rakan kongsi "senior" dalam Pakatan Rakyat yakni PKR dan DAP.
Kenyataan "u-turn" Dato Husam dalam tempoh yang amat pendek sekali memberikan kita satu lagi contoh dimana PAS terpaksa tunduk kepada desakan parti DAP.
Di manakah prinsip PAS yang dikatakan oleh Dato' Husam semasa beliau bentangkan mukadimahnya di Wacana tersebut yang mana antara "P" penting yang disebut adalah prinsip? Takkan prinsip boleh dibuang begitu mudah sahaja?
Wallahualam.

Apa sudah jadi, Guan Eng?

Satu ketika dahulu, Pulau Pinang digemparkan dengan foto-foto Lim Guan Eng, Ketua Menteri baru Pulau Pinang. Tetapi foto-foto itu bukannya skandal wanita tetapi foto yang menunjukkan bahawa Guan Eng sedang duduk di kelas ekonomi di dalam sebuah kapal terbang.
Riuh media-media tempatan dan e-mel memperkatakan foto tersebut, kononnya, Guan Eng berjiwa rakyat dan mahu bersama rakyat.
Penulis sendiri telah menerima foto-foto tersebut melalui e-mel. Mereka yang menghantar foto tersebut merasa sangat bangga dengan foto tersebut. Penulis tafsirkan mereka ini jugalah yang memangkah DAP dan pakatan pembangkang di Pilihan Raya Umum (PRU) 12.
Tidak berapa lama dulu, semasa wawancara Awani, seorang pemimpin mengatakan bahawa kini, Guan Eng tidak duduk di kelas ekonomi bersama rakyat lagi. Beliau sudah seronok dengan status VIP beliau dan 'business class'!
Apa sudah jadi, Guan Eng?
Baru-baru ini pula, Guan Eng mendakwa bahawa RM225 juta telah hilang daripada rizab Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Tetapi tuduhan tersebut telah dinafi keras oleh Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan.
Hock Nan berkata, dakwaan ‘kehilangan’ rizab Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu tidak berasas kerana wang tersebut sebenarnya telah digunakan untuk pelbagai projek pembangunan mega dan kecil bagi faedah rakyat negeri ini.
.....‘‘Jadi, saya menggesa Ketua Menteri berhenti daripada membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan terus membuat tuduhan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan di sini hari ini. - Utusan Malaysia.
Apa sudah jadi, Guan Eng?
Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Lim Guan Eng masih berdegil untuk menggunakan nama jalanraya pelbagai bahasa. Untuk menyedapkan hati orang Melayu, beberapa nama tanda telah diletakkan tulisan jawi. Tetapi, persoalannya sekarang,
- Apakah begitu ramai pelawat asing yang sesat di Pulau Pinang ini sehinggakan nama tanda perlu pelbagai bahasa?
- Apakah rakyat Pulau Pinang sudah kehilangan sifat mesra dan friendly seperti yang sering dikatakan oleh pelawat asing dan mereka semakin berat mulut untuk membantu pelawat asing sehinggakan memerlukan nama tanda tersebut?
Penulis melihat isu nama tanda pelbagai bahasa itu sebenarnya kesilapan kerajaan negeri baru Pulau Pinang yang beria-ia sangat untuk melakukan perubahan. Akhirnya mereka tahu bahawa ianya tidak penting langsung tapi untuk menjaga muka masing-masing, program itu terpaksa diteruskan.
Penulis pula lebih suka jika pelawat-pelawat asing dapat mengingat nama jalan bahasa Malaysia. Sekurang-kurangnya bahasa itu terpahat di hati mereka contohnya Jalan Aceh dan sebagainya.
Tindakan kerajaan Guan Eng yang tampak tidak cekap dan memikirkan isu-isu yang remeh ini juga menyebabkan Georgetown mungkin akan menghadapi masaalah setelah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan hairan bagaimana Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menyedari garis panduan yang ditetapkan UNESCO sekali gus mengumumkan mengenai pembinaan hotel itu sedangkan kerajaan negeri sebelum ini berkeras tidak meluluskan projek berkenaan.
''Ini satu-satunya pembangunan di tapak warisan yang tidak dimaklumkan kepada jawatankuasa tersebut, jadi tiada sebab untuk kerajaan negeri terburu-buru meluluskan projek berkenaan.
''Kerajaan negeri sepatutnya menyemak terlebih dahulu mengapa kerajaan terdahulu tidak pernah meluluskan projek tersebut,'' tegasnya. - Utusan Malaysia.
Apa sudah jadi, Guan Eng?

Dr Novandri Hasan Basri

Antara Putar Belit Anwar Dan Pilihan Pengundi Cina Di Kuala Terengganu

Seperti yang pernah ditulis dalam berpuluh artikel sebelum ini, Anwar Ibrahim mempunyai kemampuan dan kepakaran membujuk dan mempengaruhi pengundi dengan ucapannya. Yang turut terserlah ialah kebolehan Anwar bermuka-muka di kalangan pengundi pelbagai kaum.
Kuala Terengganu merupakan satu kawasan perbandaran yang majoritinya pengundi Melayu tetapi keputusannya banyak ditentukan oleh pengundi Cina di kawasan bandar.
Hal ini berlaku kerana undi Melayu pecah hampir sama antara BN dan Pas. Justeru sekitar 8 ribu pengundi bukan Melayu dikatakan akan menjadi penentu keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu kali ini.
Namun andaian ini tidak semudah yang dijangka buat Anwar. Orang Melayu yang menyokong Pas sungguhpun mahu menambah kerusi, mereka masih ragu-ragu mengenai keikhlasan Anwar dalam menjaga kepentingan Islam dan Melayu.
Penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Perak memberi gambaran bahawa Anwar gagal sama sekali menjaga kepentingan agama dan bangsa.
Ketika orang Melayu dalam UMNO dan atas pagar dilihat akan mengukuhkan kedudukan UMNO, Melayu dalam Pas masih berbelah bagi. Manakala Melayu dalam PKR pasti akan terus menyokong Anwar (bukannya Pakatan Rakyat).
Sekarang ini terserah kepada pengikut Pas sama ada mahu menang sorak atau kepentingan agama dan bangsa tergadai atau mahu memberi satu amaran jelas kepada Anwar bahawa Pas belum bersedia mengkompromi dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat di tiga negeri contoh tadi.
Anwar hampir pasti memainkan isu sekolah vernakular yang begitu sensitif di kalangan masyarakat Cina. Malahan kenyataan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir baru-baru ini pasti akan diputar belit dan dijadikan isu utama strategi kempen Anwar.
Namun beliau juga pasti tertanya-tanya apakah masyarakat Cina di Kuala Terengganu akan memberi sokongan padu kepadanya dalam isu ini?
Sedangkan Anwar ketika menjadi menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri turut mempunyai persepsi negatif terhadap sistem persekolahan jenis kebangsaan ini.
Anwar juga dalam dilema kerana maklumat yang beliau dapat sekarang ialah kaum Cina tidak akan memberi undi kepada Pakatan Rakyat kerana khuatir ia akan menjejaskan kestabilan politik negara dalam masa ekonomi dunia mengalami krisis memandangkan BN telah pun kehilangan majoriti 2/3.
Satu lagi pukulan kepada BN pasti akan menimbulkan satu lagi polemik politik dan krisis keyakinan pelabur terhadap kerajaan hari ini. Ini pasti tidak digemari oleh masyarakat peniaga Cina.
Sungguhpun BN hanya menang dengan majoriti 628 undi di Kuala Terengganu dalam pilihan raya lalu, namun keadaan pasca pilihan raya umum banyak memberi pengajaran kepada orang Melayu.
Orang Melayu "non partisan" dan sebahagian di dalam Pas telah bersedia mengundi BN kali ini.
Soalnya mampukah BN mengambil kesempatan dan apakah percaturan Anwar semasa kempen pilihan raya nanti. Peluang Pakatan Rakyat dan Anwar bergantung kepada siapa calon BN.
BN mempunyai peluang cerah menambah majoriti jika meletakkan calon yang tepat dan kaum Cina di Kuala Terengganu memberi sokongan seperti dalam pilihan raya lalu.