Thursday, December 25, 2008

Ketuanan Melayu - Bangsa Lain Bukan Hamba

Satu perkara yang semua rakyat Malaysia mesti tahu ialah ketuanan Melayu bukannya bermakna bangsa lain di Malaysia ini adalah hamba abdi atau kuli tanpa gaji.
Perkara inilah yang mesti di tanam di setiap sanubari warganegara Malaysia dan yang salah seorang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej ini ialah pemimpin-pemimpin bangsa itu.
Malangnya, agak sudah menjadi satu kemestian bagi sesetengah pemimpin bukan Melayu, sama ada BN atau PR, untuk mencabar kesabaran kaum Melayu untuk menunjukkan bahawa mereka adalah pemimpin sebenar bagi kaum tersebut.
Yang lebih memelikkan ialah pemimpin-pemimpin BN tersebut merupakan pemimpin-pemimpin yang sering berada di meja mesyuarat BN, mengikuti perkembangan politik dan ekonomi negara dengan teliti.
Mereka mempunyai hak dan diberi secukup masa untuk berunding, berbincang dan mengkritik sebarang isu negara secara tertutup. Pokoknya, hasil akhir setiap mesyuarat patut mencapai satu persetujuan dan pemahaman mengenai sebarang isu yang berbangkit.
Mereka mendapat segala maklumat dan statistik ekonomi bangsa-bangsa di negara ini. Maka bodohlah jika mereka masih mengganggap ketuanan Melayu telah mengganggu-gugat hak bangsa bukan Melayu di negara ini.
Ketelanjuran sesetengah pemimpin parti komponen BN yang mempersoalkan isu ketuanan Melayu amat sukar untuk dimaafkan. Mungkin skandal seks Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek boleh dimaafkan kerana ianya suatu yang boleh diterima oleh ahli-ahli MCA.
Tetapi ianya tidak bermakna Soi Lek perlu menghentam hak kaum Melayu kerana keseronokan beliau bersama wanita beliau telah diketahui ramai. Bukan begini caranya untuk menutup malu angkara 'bermain-main' dengan wanita lain.
Secara peribadi, penulis lihat parti-parti komponen BN telah hilang arah dan sudah tidak mahu berfikiran panjang.
Mereka sebenarnya terperangkap dengan modus operandi yang dicanang-canangkan oleh parti pembangkang terutamanya parti DAP sehinggakan mereka turut percaya bahawa hanya dengan menguris hati dan hak kaum Melayu sahajalah merupakan satu-satu caranya untuk mereka mendapat kembali populariti dan sokongan bangsa mereka.
Pemimpin-pemimpin komponen BN mesti tahu bahawa apabila mereka memijak garis hak kaum Melayu, maka ianya secara tidak langsung turut memperkecil-kecilkan kesultanan dan raja mereka sendiri.
Realitinya, sultan dan raja yang bertakhta sekarang merupakan ketua negara untuk semua kaum dan bukannya untuk kaum Melayu sahaja.
Kita tentu telah membaca perutusan raja-raja yang dikeluarkan tidak lama dulu.
Penulis percaya majoriti rakyat bukan Melayu di negara ini berasa selesa dan sudah serasi dengan evolusi negara ini. Kita dapat hidup dengan aman damai dan kaum Melayu tidak banyak merungut biar pun bangsa lain terus menerajui ekonomi dan pendidikan negara ini.
Pemimpin-pemimpin bukan Melayu di dalam BN mesti sedar bahawa modus operandi mempersoalkan hak-hak kaum Melayu hanyalah sekadar echo atau pun reflection daripada suara parti DAP dan pembangkang.
Mereka mesti bergerak jauh daripada menjadi bahan second hand bagi bangsa mereka. Dan banyak lagi perkara yang mereka boleh perjuangkan dan ianya masih belum selesai.
Jika mereka berasa bahawa pendidikan, kemakmuran dan ekonomi bangsa mereka tergugat, mereka mesti berasional dan melihat kepada faktor-faktor yang menyebabkan masaalah tersebut.
Dan berdasarkan kepada rekod pencapaian bangsa-bangsa lain di negara ini, penulis amat pasti bahawa ketuanan Melayu bukanlah faktor paling besar yang mesti diberikan penekanan atau pun dipesong seperti hari ini.

Dr Novandri Hasan Basri

No comments:

Post a Comment