Bertempat di Balai Islam, Kota Bharu, Khairy Jamaluddin sebenarnya memiliki keberanian luar biasa bila sanggup menerima undangan ini. Bagi saya, seorang pemerhati politik biasa, jika silap perhitungan, menghadirkan diri di majlis anjuran Pas, samalah seperti meletakkan leher sendiri di rel keretapi.
Maklumlah, penalis lain terdiri dari orang-orang Pas, walaupun kehadiran tokoh akademik seperti Prof Madya Dr Aziz Bari dan moderator, Prof Madya Mohamad Agus Yusof meletakkan Khairy Jamaluddin diapit oleh orang-orang Pas, yang zahirnya seolah-olah mereka ‘neutral’.
Bacalah tulisan Aziz Bari dan dengar Mohamad Agus bercakap, bila ketikanya mereka berdua ini neutral? Cuma orang pekak sahaja, yang bercakap dengan kedua-dua tokoh dari menara gading ini akan mengakui mereka neutral tetapi hakikatnya mereka ‘cari makan’ untuk kelihatan neutral.
Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa tidak perlu diperkenalkan. Dia memang suka berdebat dan dia sebenarnya menyiapkan dirinya untuk menjadi pengganti Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Jadi, apa sahaja yang dia buat, dia mempunyai perkiraan, percaturan dan susun kerja untuk mempersiapkan dirinya.
Dengan membawa penyokong Pas di Balai Islam, Khairy Jamaluddin sebenarnya ‘bermain bola di padang musuh’. Dalam permainan itu, walau hebat mana sekali pun permainan Khairy, tentulah beliau akan ‘diboo’ oleh penyokong musuh. Mana mungkin penyokong musuh mahu mendengar kata-kata Khairy kerana kehadiran mereka ke situ, diamanahkan untuk ‘menyokong Pas’ dan ‘boo Umno’.
Masalah penyokong Pas, termasuk para pemimpin mereka, mereka hanya hendak percaya perkara yang mereka hendak percaya sahaja. Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercakap, mereka akan percaya. Misalannya, Anwar kata dia akan jadi Perdana Menteri 16 September 2008, semua pemimpin Pas sudah bersiap sedia mahu mengikuti majlis angkat sumpah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Bukan itu sahaja, seandainya Anwar beritahu para penyokong Pas, dia akan jadi Presiden Amerika, 16 September lalu, tentulah ada pemimpin-pemimpin Pas sudah pun membeli tiket kapal terbang mahu ke US, mengikut Anwar untuk menjadi Presiden Amerika.
Para penyokong Pas juga mempunyai satu penyakit, mereka hanya mahu mendengar cakap dari orang-orang yang mereka taksub sahaja. Kalau yang bercakap itu bukan dari senarai orang yang mereka taksub, mereka akan boo, mereka akan buat bising dan bertempik. Kalau Anwar Ibrahim yang bercakap, mereka mahu dengar kerana mereka tengok para pemimpin mereka pun terkagum dengan Anwar Ibrahim.
Tetapi dalam ramai-ramai penyokong Pas di Balai Islam, Sabtu malam Ahad lalu, tentu ada yang terpelajar. Mereka bukan sahaja ‘berbulu telinga’ mendengar Dr. Aziz Bari dan Mohamad Agus berbcara, malahan hati kecil mereka yang terbuka mindanya, berlapang dada dan mahu mendengar dari sumber-sumber lain juga, tentunya tersentak dengan pukulan dari Khairy Jamaluddin yang selama ini mereka caci.
Mana ada orang Pas yang tidak mencaci Khairy walaupun mereka tidak pernah jumpa Khairy, tidak pernah dengar Khairy berpidato dan jauh sekali mendekatinya? Namun, sejak malam Sabtu lalu, mereka sama-sama sendiri sudah mula bercakap, “hebat rupanya Khairy Jamaluddin ini.”
Para penyokong Pas mengkritik Khairy perkara biasa. Para penyokong DAP mengkritik Khairy juga tidak perlu diperkatakan. Malah, jika para penyokong PKR sekali pun, seperti berdosa besar mereka jika mereka mengkagumi Khairy. Sebenarnya, dalam Umno sendiri, Khairy sentiasa dicemburui dan difitnah hanya kerana mereka yang memfitnahnya merasakan mereka tidak mampu untuk bersaing dengannya.
Jangan terkejut jika sesiapa mendengar cerita, Khairy kelihatan di IJN… tentu beliau ada saham dalam usaha kerajaan mahu mengswastakan IJN. Jika sesiapa nampak Khairy berada di Balai Polis, jangan sesiapa terkejut akan ada cerita Khairy dapat projek membina Balai Polis dan begitulah seterusnya.
Bagi mereka yang mencemburuinya, tiada langsung kebaikkan yang Khairy buat. Semua yang tidak baik, tentunya Khairy yang lakukan. Yang mana baik, Khairy tidak sempat ‘kacau’. Hari ini, apabila Khairy mempelawa calon-calon Ketua Pergerakan Pemuda supaya berdebat, bukan sahaja ada yang terketar-ketar menjawab, tidak setuju dengan cadangan Khairy malahan, mereka mengutuk kononnya Umno belum cukup bersedia dengan debat.
Lihat sahaja bagaimana perbahasan di Parlimen, celahan Khairy terhadap hujah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai agensi pendakwaan di Hong Kong disambut baik berbanding dengan celahan Ahli Parlimen Telok Intan terhadap Mukhriz (MP Jerlun) hingga menimbulkan kata-kata mengejek MP Telok Intan kepada MP Jerlun : ‘you don’t know, you don’t talk lah.’
Kesempatan ini, saya mengharapkan Khairy terus memenuhi undangan jika ada lagi wacana-wacana seperti ini, tanpa mengira undangan itu datangnya dari Pas, PKR atau DAP. Sekurang-kurangnya, Ibu Pejabat Umno tidaklah perlu risau jika ada undangan mahu Umno menghantar penalis ke wacana-wacana seperti ini.
Dari rekod sebelum ini, Ibu Pejabat Umno sering mengharapkan Allahyarham Ikhwan Nasir, bekas Ahli Parlimen Pontian untuk berdepan dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang di Universiti dan forum-forum terbuka, tetapi sejak kematian Ikhwan beberapa tahun yang lalu, Umno seperti ketandusan tokoh untuk berdebat.
Hari ini, Allah swt menganugerahkan kepada Umno seorang anak muda bernama Khairy Jamaluddin untuk menjadi pengganti tokoh-tokoh hebat yang sudah tiada di sisi Umno. Tahniah dan teruskan perjuangan YB Khairy Jamaluddin.
Oleh Mohd Ansar Saifuddin
No comments:
Post a Comment